Selasa, 29 Mac 2011

Berita Dadah Hari Ini : Duit PTPTN buat Niaga Dadah

Akhbar Harian METRO hari ini memaparkan kisah seorang pelajar IPT yang menggunakan duit bantuan pinjaman belajar untuk berniaga dadah. Inilah kesannya jika pelajar kita yang tidak memikirkan masa depannya. Kerana dadah, hidup merana walaupun mempunyai akademik yang baik.

KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut ijazah sarjana muda sebuah universiti di Kedah dikesan menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai modal untuk menjadi pengedar syabu bagi mendapatkan duit poket bukan saja untuk membiayai pengajiannya malah menampung keperluannya menagih dadah berkenaan.
     Pelajar Pengurusan Teknologi berusia 25 tahun yang bakal menamatkan pengajian Ogos ini, mengaku mula menagih bahan terlarang itu sejak lima tahun lalu. Pelajar itu ditahan dalam ‘Ops Gempur’ semalam, selepas polis menerima rungutan awam mengenai kegiatannya mengedar dadah secara kecil-kecilan kepada penagih.
     Ketika diberkas, dia sedang tidur bersama seorang saudara lelaki berumur 30 tahun di sebuah stor bahagian depan rumah tanpa dinding di Kampung Padang Macang, Manir, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi.
Dalam serbuan Unit Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu diketuai Inspektor Husaini Amir Mohd Noor bersama anggota Balai Polis Manir dan Chabang Tiga, polis menemui satu tiub plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu di celah plastik rokok Gudang Garam yang disorok di bawah katil di rumah itu.
     Hasil siasatan polis, penuntut berkenaan yang sepatutnya menggunakan wang pinjaman PTPTN untuk membiayai pengajian, mendakwa terpaksa menjual syabu bagi menambah duit poket. Malah, suspek bersama saudaranya itu pernah ditahan di lokap selama tiga hari tahun lalu atas kesalahan memiliki dua gram syabu tetapi dibebaskan dengan jaminan polis serta dikenakan denda RM1,400. Penuntut berkenaan dan saudaranya ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan.  Dalam operasi sama, polis turut menahan anak seorang bilal sebuah masjid di Kampung Batu Hampar, Manir, berusia 28 tahun dipercayai penagih yang mendapatkan bekalan daripada penuntut berkenaan.
     Ketika serbuan, polis terpaksa memecahkan pintu bilik belakang rumahnya kira-kira jam 5.20 pagi sebelum menahan suspek bersama seorang rakan berusia 23 tahun yang sedang menghisap dadah dan cuba melarikan diri dengan menyorok di dalam sebuah bilik gelap. Anak bilal itu yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebanyak RM4,500 atas kesalahan memiliki 20 biji pil kuda sempat berpura-pura pengsan dan memegang erat ibunya kerana tidak mahu dibawa ke balai polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DuitPTPTNniagadadah/Article/index_html

Jumaat, 11 Mac 2011

Mesyuarat Pengurusan PPDa Maran bil.1/2011

"Terima Kasih Che Lah" daripada En Jasmi, PKD Maran.

Mesyuarat ini telah dilaksanakan pada 10 Mac 2011 di PPD Maran. Semua guru PPDa telah hadir. Turut bersama dalam mesyuarat itu , En Abdullah Sani bin Abd Rahman, Ketua Unit PPDa, JPN Pahang. Fokus mesyuarat ini adalah bagi memastikan pengurusan PPDa di peringkat Daerah dan sekolah berjalan dengan baik dan terancang. Kualiti dan kepimpinan yang mantap perlu dalam memastikan PPDa menjadi agenda dan wardah perjuangan dalam memastikan misi dan visi PPDa, "Sekolah Bebas Dadah 2012".
    Tahniah dan terima kasih kepada semua guru PPDa yang sentiasa komited dan bersemangat dalam membawa perjuangan PPDa. Dalam mesyuarat tersebut telah disentuh berkenaan pengurusan PPDa di peringkat sekolah iaitu;
  1. Pengurusan PPDa (dokumentasi dan 'failing')
  2. Perancangan Program dan aktiviti
  3. Laporan Ujian Urin
  4. Pengunaan Blog PPDa Maran dan Buletin PPDa
  5. Perlantikan Guru Sumber PPDa 2011/2012.
  6. Bilik Sumber dan lorong PPDa terbaik Daerah Maran
  7. Pelancaran Blogspot PPDa Daerah Maran.
En Abdullah Sani juga turut sama berucap dan menyampaikan amanat KPM dan JPNP berkenaan PPDa. Beliau sendiri berada sehingga tamat mesyuarat. En Abdullah Sani juga turut melancarkan Laman Blog PPDa Maran. Sokongan dan semangat beliau amat dihargai dan diucapkan ribuan terima kasih. Atas kepimpinan beliau, unit PPDa Pahang berjaya dinobatkan selaku Pengurusan PPDa Terbaik Kebangsaan. Inilah yang akan dibawa ke daerah Maran.
 
En Abdullah Sani menyampaikan ucapan dan amanat serta melancarkan Blogspot PPDa Maran

Johan Lorong PPDa Peringkat N.Pahang (SMK Tengku Ampuan Afzan)

Naib Johan Lorong PPDa SK N.Pahang (SK LKTP Jengka 5)

Seminar Kesedaran HIV/Aids PROKES Daerah Maran 2011

Dr Saniah, Pakar Perubatan Keluarga Maran menyampaikan ceramah.

Penyampaian cenderamata tanda terima kasih buat Dr. Saniah
 disampaikan oleh En Abdullah Sani, Ketua Unit PPDa, JPN Pahang.

Program ini telah dilaksanakan pada 10 Mac 2011 di Bilik Mesyuarat Aras 4, Wisma Persekutuan Maran. Ia adalah kerjasama sub-unit PPDa, Pejabat Pelajaran Daerah Maran bersama Pejabat Kesihatan Daerah Maran.
     Program ini melibatkan semua guru PPDa Daerah Maran termasuklah guru daripada sekolah-sekolah agama di bawah Kerajaan negeri. Fokus seminar ini diadakan adalah bagi memberi pendedahan awal kepada semua guru PPDa tentang bahaya dan kesedaran HIV/Aids sebelum program ini dilaksanakan pula di sekolah masing-masing. Dr. Saniah, iaitu Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Maran, telah menyampaikan ceramah beliau berkaitan HIV/Aids. Sebagai Pakar perubatan keluarga dan sentiasa berhadapan dengan pesakit HIV, banyak pendedahan dan pengalaman beliau telah diceritakan kepada semua hadirin. Turut sama hadir dalam program ini ialah En Abdullah Sani bin Abdul Rahman, Ketua Unit PPDa, Jabatan Pelajaran Pahang.
     Sewaktu Seminar ini, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Maran turut mengadakan Pameran HIV & Aids. Terima kasih kepada En Rizal, Pegawai HIV/Aids Pejabat Kesihatan Daerah Maran, yang banyak membantu menjayakan program ini.

Rabu, 9 Mac 2011

Minggu Anti Dadah 2011

Sambutan Minggu Antidadah hendaklah diadakan sepanjang Februari hingga Mac 2011. Ianya bertemakan '1Malaysia Membanteras Dadah'. Pihak sekolah perlu menyusun dan membuat perancangan untuk sambutan berkenaan. Perutusan Pengarah Pelajaran Pahang boleh dibaca (sila muat turun daripada laman blog ini sekiranya perlu). Pameran dan ceramah dialu-alukan dengan adanya kerjasama AADK, Bahagian Narkotik PDRM, Jabatan Penjara dan sebagainya yang berkaitan.
      Laporan hendaklah dihantar ke PPD untuk dipanjangkan ke JPN dan KPM. Harap maklum.

Majlis Penutup Minggu Anti Dadah SMK Maran 2

Majlis penutupan Minggu Antidadah SMK Maran 2 pada 8 Mac 2011 telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Maran, YH Dato'Fadzilla bin   Hj Salleh, DIMP., SMP., AMP. . Turut sama hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Pn Samsiah  Hj Suradin , PKC., Pegawai PPDa Maran (En Mohd Jasmi Jaafar) dan wakil Ketua Polis Daerah Maran. Sebagai sebuah sekolah yang pernah dinobatkan Johan Bilik sumber PPDa Peringkat Kebangsaan 2008, sudah pastinya sambutannya meriah. Pengetua SMK Maran 2, Pn Norhayati yang begitu komited dan banyak memperjuangkan PPDa sebagai satu jenama sekolah yang perlu diikuti oleh semua sekolah. Beliau sendiri menawarkan untuk terus bertanding lagi setelah 2 tahun sekadar menjadi sumber rujukan dalam pembangunan PPDa. Perutusan Minggu Antidadah oleh Pengarah Pelajaran Pahang juga telah dibaca dalam majlis tersebut.
     Dalam majlis tersebut, YH Dato' telah mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak terutama para guru dan pelajar SMK Maran 2yang berjaya membawa wadah perjuangan PPDa. Beliau juga bangga dengan hasil kerjasama yang ditunjukkan oleh warga sekolah. Beliau juga menyarankan para pelajar agar menjauhi dadah dan menentangnya habis-habisan. Nasihat beliau agar para pelajar tidak mencuba sebarang jenis dadah dan tidak merokok. Jika ianya dapat dihindari, maka kejayaan dan kebahgiaan akan muncul.
    Pada majlis tersebut, para pelajar mempersembahkan beberapa persembahan seperti deklamasi sajak, dikir barat dan boria. semuanya bertemakan '1Malaysia Membanteras Dadah'. Setelah upacara perasmian, YH Dato' bersama tetamu telah dibawa melawat ke Bilik Sumber PPDa SMK Maran 2. YH Dato' begitu tertarik dengan hasilan para pelajar. Beliau juga dibawa ke Klinik Berhenti Merokok yang merupakan antara tarikan  dan perbezaan berbanding sekolah lain. Konsep Anak Angkat digunakan dengan adanya kerjasama daripada AADK, Polis dan Pejabat Kesihatan. Tahniah SMK Maran 2.

Jumaat, 4 Mac 2011

Bahaya Arak terutama kepada golongan Pelajar

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai gejala sosial di kalangan pelajar. Tinjauan PPDa ke sekolah-sekolah, mendapati ada segelintir pelajar kita yang pernah mengambil minuman beralkohol. Minuman ini didapati daripada Kedai 24 Jam atau kedai/warung Cina. Sedihnya apabila soalselidik yang dijalankan, majoritinya adalah kalangan pelajar Melayu-Islam. Walaupun bilangan yang mengambilnya tidak ramai namun senario ini agak membimbangkan sedangkan golongan pelajar ini berada di kawasan luar bandar.
     Perlakuan ingin mencuba ini perlu dibendung agar ianya tidak membawa kepada penagihan. Paling ditakuti adalah pengambilan alkohol murah dan fenomena ini sesuatu yang perlu dipandang serius daripada semua pihak. Guru-guru perlu memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat bahaya alkohol kepada semua pelajar. Pihak berkuasa tempatan pula harus memantau kedai-kedai yang menjual alkohol murah dan mudah didapati oleh pelajar atau orang ramai. Bimbingan agama amat perlu dalam menengani masalah ini.
     Lihatlah paparan Harian Metro tentang bahaya arak murah ini.

IPOH: Bukan akibat ilmu hitam atau disantau, namun ramai belia dilaporkan mengalami simptom muntah darah gara-gara ketagihan sejenis minuman keras digelar ‘tonik gila’ atau ‘samsu setan’. Lebih mengejutkan apabila gejala penyakit berkenaan dikesan berpunca daripada kadar alkohol terlalu tinggi sehingga mencecah 43 peratus di dalam minuman terbabit, sekali gus mengancam nyawa individu yang ketagih minuman itu.
     Gejala menakutkan ini kian serius selepas tinjauan mendapati minuman terbabit mudah dibeli hampir di semua kedai runcit dan kedai ubat tradisional Cina. Tinjauan Harian Metro mendapati minuman terbabit dengan kandungan 150 mililiter itu dijual RM3.30 sebotol. Hasil tinjauan di lebih 10 kedai runcit sekitar bandar raya ini, terdapat kira-kira lima jenama minuman keras yang dijual murah dengan kadar alkohol terendah 27 peratus.
     Seorang penagih tegar minuman terbabit yang hanya mahu dikenali Man, 21, berkata dia kini menderita penyakit hepatitis atau bengkak hati akibat ketagih minuman itu sejak lebih setahun lalu. Dia yang ditemui ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, berkata kini dia kerap muntah darah selain sakit pada hulu hati.
     “Doktor memberitahu penyakit saya itu berpunca daripada kesan toksik pada alkohol minuman keras. Saya dinasihatkan berhenti meminumnya kerana doktor bimbang hati saya bertambah rosak. “Malah, kini saya cepat pitam dan buang air besar bercampur darah,” katanya. Man berkata, dia ketagih arak terbabit selepas bercampur kumpulan Mat Rempit dan bahan berbahaya itu dengan pelbagai jenama dijual tidak melebihi RM3. Menurutnya, minuman keras yang dijual di dalam botol itu dianggap lebih ‘power’ berbanding arak di dalam tin.
     “Arak dalam tin hanya mendatangkan kesan mabuk jika diminum melebihi tiga tin, namun tonik gila ini boleh menyebabkan mabuk dengan hanya empat teguk. “Selain minuman keras berlogo candi, terdapat juga beberapa minuman keras seangkatannya yang menggunakan simbol kapak dan nombor tertentu,” katanya.
Menurutnya, arak itu menjadi pilihan remaja dan belia berikutan harganya murah dan kebanyakan individu yang meminumnya golongan berpendapatan rendah.
     “Minuman keras biasa dijual antara RM7 hingga RM9 setin, namun samsu setan ini boleh dibeli semurah RM3. “Ada juga remaja yang terjebak dalam gejala seks bebas percaya arak itu mampu menambah daya seksual, namun saya tidak pasti kebenarannya,” katanya. Menurutnya, minuman terbabit membawa mudarat apabila menyebabkan individu yang meminumnya jatuh pengsan untuk tempoh masa lama. “Sebab itu ramai kaki botol yang minum samsu murah ini boleh hilang kawalan dan tidur tersadai di kaki lima. “Rasa minuman keras ini tidak sesedap mana, namun kesannya amat pantas dan lebih ‘kaw’ jika diambil selalu,” katanya yang kini bergantung ubat hospital.
     Sementara itu, tinjauan turut mendapati ramai penagih minuman terbabit seperti penagih dadah apabila terbaring mabuk atau tidak sedarkan diri di kaki lima bangunan. Ini dibuktikan apabila rata-rata kaki botol ditemui bersama terbaring bersama botol minuman terbabit di samping mereka.

Petikan daripada akhbar Harian Metro, 4 /3/2011 http://www.hmetro.com.my/articles/Ramaimuntahdarah/Article

Arak Merbahaya

Pengambilan alkohol dalam kadar tinggi boleh menyebabkan radang hati kerana fungsi hati akan terganggu, sekali gus tubuh gagal mendapat khasiat secukupnya.
     “Ia membuktikan kesan pengambilan alkohol daripada minuman keras atau samsu murah boleh memusnahkan fungsi hati yang membantu sistem penghadaman dan membuang toksik berlebihan dalam badan,” kata Perunding Gastroenterologi Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH), Dr Wong Choon Heng. Beliau menyatakan, pengambilan kandungan alkohol berlebihan dalam tubuh menyebabkan hati menjadi keras dan rosak.
     Dr Wong berkata, kekerapan pengambilan alkohol bukan saja menyebabkan ketagihan melampau, sebaliknya boleh mengundang pelbagai penyakit kritikal termasuk menjejaskan fungsi jantung, hati, buah pinggang dan otak si peminumnya. Menurutnya, pengambilan alkohol yang banyak pada masa singkat bukan saja boleh menyebabkan mabuk, ia juga boleh menyebabkan peminumnya separuh sedar.
     “Apabila seseorang itu mabuk, banyak perkara boleh berlaku termasuk boleh mencetuskan jenayah dan kemalangan jalan raya sekiranya individu itu memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.Selain itu, katanya, ketagihan alkohol berlebihan juga boleh menyebabkan bahagian otak membengkak selain berisiko koma dan kematian mengejut. Katanya lagi, kesan pengambilan berterusan alkohol juga menyebabkan jantung menjadi lemah, sekali gus mengalami kesukaran bernafas,” katanya.

Petikan daripada Harian Metro, 4 Mac 2011: http://www.hmetro.com.my/articles/Musnahfungsihati/Article

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...