Ahad, 18 November 2012

Akibat Dadah, Anakpun Sanggup dibunuh.

KUANTAN 17 Nov 2012 - Seorang bapa yang dipercayai mengalami gangguan halusinasi akibat pengaruh dadah bertindak menyembelih anak perempuannya berusia 11 bulan 20 hari hingga mati di rumah mereka di Felda Panching Selatan, dekat sini, malam tadi.
      Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek berusia 28 tahun bertindak mengelar leher anaknya, Nor Amirah menggunakan sebilah parang berukuran 44 sentimeter dalam sebuah bilik tidur sebelum kejadian disedari ibu mangsa berusia 26 tahun yang kebetulan berada di rumah ketika kejadian.
     Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, isteri suspek yang ternampak suaminya keluar bilik dengan memegang parang berlumuran darah segera mendapatkan bayinya itu, bagaimanapun mangsa sudah terbaring kaku di atas katil dengan kesan kelar di leher.
      Menurutnya, ibu mangsa segera memaklumkan kejadian kepada keluarga, manakala suspek yang tertekan dengan perbuatannya itu difahamkan sempat menghubungi talian kecemasan 999 meminta bantuan untuk menghantar anaknya ke hospital.
     “Sejurus mendapat maklumat berhubung kejadian, anggota polis dikerah ke rumah suspek untuk menjalankan siasatan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.“Ketika itu hanya ibu dan abang mangsa berada di rumah, manakala suspek dibawa keluarga untuk menyerah diri di Balai Polis Jaya Gading dekat sini,” katanya ketika dihubung.
     Mohd Jasmani berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui dan merampas parang yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut. “Susulan kejadian, polis berjaya menahan suspek di sebuah persimpangan lampu isyarat Batu 10 dekat sini ketika berada dalam kereta bersama adik dan bapanya. “Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya.
      Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes merusuh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 377C KK kerana melakukan seks luar tabii dan curi dalam bangunan mengikut Seksyen 380 KK.“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya.
      Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 KK.
 
Ujian Urin mengenal pasti dadah yang diambil. 2 'line' petanda positif dadah
    
    Inilah akibatnya jika menjadi hamba dadah. Syabu dan amfetamin dikatakan dadah yang diambil meyebabkan halusinasi melampau. Cuba kita bayangkan apa akan terjadi jika anak-anak pelajar kita mengambil syabu? Suatu yang amat membimbangkan kerana Ujian Urin dan tangkapan pelajar memperlihatkan bahawa dadah jenis syabu paling ramai diambil oleh pelajar. Malah kita merasa cukup menakutkan apabila kadar pelajar yang mengambil meningkat sekali ganda bukan sahaja di daerah Maran malah diperingkat kebangsaan. Itu yang dapat dikesan, apa pula terjadi kepada pelajar yang mencuba tapi terlepas atas alasan 'masa' atau tidak hadir ke sekolah?
    Adalah diharapkan semua sekolah dapat meningkatkan pendidikan kesedaran kepada para pelajar. Trend dadah mula berubah. Jika dulu ganja, gam dan ketum, kini dadah kimia seperti syabu dan amfetamin menjadi pilihan remaja atas beberapa faktor. Jika dulu mereka yang mencuba dadah akan ponteng sekolah, tapi kini ada kaki ponteng yang pergi sekolah kerana mencuba dadah syabu ini. Mereka boleh tahan tidur selama beberapa hari, boleh berjaga hingga ke siang dan boleh datang ke sekolah hingga dos syabu ini habis. Bila dos syabu habis, maka mereka rasa penat dan tidur. Jika datang sekolah, mereka akan tidur dalam kelas. Jika mereka berada di rumah, maka mereka akan tidur seharian.
     Awasi anak-anak kita dari dadah.
 
 

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...