Selasa, 29 Mac 2011

Berita Dadah Hari Ini : Duit PTPTN buat Niaga Dadah

Akhbar Harian METRO hari ini memaparkan kisah seorang pelajar IPT yang menggunakan duit bantuan pinjaman belajar untuk berniaga dadah. Inilah kesannya jika pelajar kita yang tidak memikirkan masa depannya. Kerana dadah, hidup merana walaupun mempunyai akademik yang baik.

KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut ijazah sarjana muda sebuah universiti di Kedah dikesan menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai modal untuk menjadi pengedar syabu bagi mendapatkan duit poket bukan saja untuk membiayai pengajiannya malah menampung keperluannya menagih dadah berkenaan.
     Pelajar Pengurusan Teknologi berusia 25 tahun yang bakal menamatkan pengajian Ogos ini, mengaku mula menagih bahan terlarang itu sejak lima tahun lalu. Pelajar itu ditahan dalam ‘Ops Gempur’ semalam, selepas polis menerima rungutan awam mengenai kegiatannya mengedar dadah secara kecil-kecilan kepada penagih.
     Ketika diberkas, dia sedang tidur bersama seorang saudara lelaki berumur 30 tahun di sebuah stor bahagian depan rumah tanpa dinding di Kampung Padang Macang, Manir, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi.
Dalam serbuan Unit Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu diketuai Inspektor Husaini Amir Mohd Noor bersama anggota Balai Polis Manir dan Chabang Tiga, polis menemui satu tiub plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki syabu di celah plastik rokok Gudang Garam yang disorok di bawah katil di rumah itu.
     Hasil siasatan polis, penuntut berkenaan yang sepatutnya menggunakan wang pinjaman PTPTN untuk membiayai pengajian, mendakwa terpaksa menjual syabu bagi menambah duit poket. Malah, suspek bersama saudaranya itu pernah ditahan di lokap selama tiga hari tahun lalu atas kesalahan memiliki dua gram syabu tetapi dibebaskan dengan jaminan polis serta dikenakan denda RM1,400. Penuntut berkenaan dan saudaranya ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah dalam badan.  Dalam operasi sama, polis turut menahan anak seorang bilal sebuah masjid di Kampung Batu Hampar, Manir, berusia 28 tahun dipercayai penagih yang mendapatkan bekalan daripada penuntut berkenaan.
     Ketika serbuan, polis terpaksa memecahkan pintu bilik belakang rumahnya kira-kira jam 5.20 pagi sebelum menahan suspek bersama seorang rakan berusia 23 tahun yang sedang menghisap dadah dan cuba melarikan diri dengan menyorok di dalam sebuah bilik gelap. Anak bilal itu yang sebelum ini pernah dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebanyak RM4,500 atas kesalahan memiliki 20 biji pil kuda sempat berpura-pura pengsan dan memegang erat ibunya kerana tidak mahu dibawa ke balai polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DuitPTPTNniagadadah/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...