Ahad, 18 November 2012

Akibat Dadah, Anakpun Sanggup dibunuh.

KUANTAN 17 Nov 2012 - Seorang bapa yang dipercayai mengalami gangguan halusinasi akibat pengaruh dadah bertindak menyembelih anak perempuannya berusia 11 bulan 20 hari hingga mati di rumah mereka di Felda Panching Selatan, dekat sini, malam tadi.
      Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, suspek berusia 28 tahun bertindak mengelar leher anaknya, Nor Amirah menggunakan sebilah parang berukuran 44 sentimeter dalam sebuah bilik tidur sebelum kejadian disedari ibu mangsa berusia 26 tahun yang kebetulan berada di rumah ketika kejadian.
     Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, isteri suspek yang ternampak suaminya keluar bilik dengan memegang parang berlumuran darah segera mendapatkan bayinya itu, bagaimanapun mangsa sudah terbaring kaku di atas katil dengan kesan kelar di leher.
      Menurutnya, ibu mangsa segera memaklumkan kejadian kepada keluarga, manakala suspek yang tertekan dengan perbuatannya itu difahamkan sempat menghubungi talian kecemasan 999 meminta bantuan untuk menghantar anaknya ke hospital.
     “Sejurus mendapat maklumat berhubung kejadian, anggota polis dikerah ke rumah suspek untuk menjalankan siasatan dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.“Ketika itu hanya ibu dan abang mangsa berada di rumah, manakala suspek dibawa keluarga untuk menyerah diri di Balai Polis Jaya Gading dekat sini,” katanya ketika dihubung.
     Mohd Jasmani berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, polis menemui dan merampas parang yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut. “Susulan kejadian, polis berjaya menahan suspek di sebuah persimpangan lampu isyarat Batu 10 dekat sini ketika berada dalam kereta bersama adik dan bapanya. “Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya.
      Beliau berkata, hasil semakan rekod mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes merusuh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 377C KK kerana melakukan seks luar tabii dan curi dalam bangunan mengikut Seksyen 380 KK.“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya.
      Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 KK.
 
Ujian Urin mengenal pasti dadah yang diambil. 2 'line' petanda positif dadah
    
    Inilah akibatnya jika menjadi hamba dadah. Syabu dan amfetamin dikatakan dadah yang diambil meyebabkan halusinasi melampau. Cuba kita bayangkan apa akan terjadi jika anak-anak pelajar kita mengambil syabu? Suatu yang amat membimbangkan kerana Ujian Urin dan tangkapan pelajar memperlihatkan bahawa dadah jenis syabu paling ramai diambil oleh pelajar. Malah kita merasa cukup menakutkan apabila kadar pelajar yang mengambil meningkat sekali ganda bukan sahaja di daerah Maran malah diperingkat kebangsaan. Itu yang dapat dikesan, apa pula terjadi kepada pelajar yang mencuba tapi terlepas atas alasan 'masa' atau tidak hadir ke sekolah?
    Adalah diharapkan semua sekolah dapat meningkatkan pendidikan kesedaran kepada para pelajar. Trend dadah mula berubah. Jika dulu ganja, gam dan ketum, kini dadah kimia seperti syabu dan amfetamin menjadi pilihan remaja atas beberapa faktor. Jika dulu mereka yang mencuba dadah akan ponteng sekolah, tapi kini ada kaki ponteng yang pergi sekolah kerana mencuba dadah syabu ini. Mereka boleh tahan tidur selama beberapa hari, boleh berjaga hingga ke siang dan boleh datang ke sekolah hingga dos syabu ini habis. Bila dos syabu habis, maka mereka rasa penat dan tidur. Jika datang sekolah, mereka akan tidur dalam kelas. Jika mereka berada di rumah, maka mereka akan tidur seharian.
     Awasi anak-anak kita dari dadah.
 
 

Rabu, 17 Oktober 2012

Pegawai PPDa Daerah Maran : Encik Akmal Syah bin Mohamad

Encik Akmal Syah, kini Pegawai Khas PPDa Daerah Maran
 
En Akmal Syah bin Mohamad kini telah dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai PPDa Daerah Maran yang baru menggantikan En Mohd Jasmi bin Jaafar. Kekosongan jawatan tersebut selama setahun tidak merencatkan program PPDa di daerah Maran. Encik Mohd Jasmi sendiri telah menjalankan tugas PPDa sehingga kemasukan En Akmal Syah walaupun telah bertukar portfolio ke Unit Pengurusan Kualiti pada April 2011. unit Pengurusan Kualiti pula adalah unit baru di PPD Maran.
     Diharapkan PPDa di Daerah Maran terus mantap dan usaha ini tentunya tidak akan berakhir. Encik Akmal Syah pernah bertugas sebagai guru Matematik di SK Serengkam selama hampir 12 tahun. Kehadiran belia ke PPD Maran, menyuntik semangat baru kepada guru-guru PPDa daerah.
     Bagi Encik Mohd Jasmi pula, beliau merasakan lebih mempunyai kekuatan dalam membantu pengurusan PPDa daerah Maran. Dengan kemasukkan Encik Akmal Syah, maka adanya pegawai baru yang dapat meneruskandan memantapkan  agenda serta 'trademark' daerah Maran dalam PPDa.Beliau sendiri akan terus melibatkan diri dalam program PPDa seterusnya membantu Encik Akmal Syah bagi penambahbaikan dan rujukan.
 
En Jasmi kini sebagai Pnolong Pegawai Pelajaran Daerah Maran di Unit Pengurusan Kualiti.
 


Khamis, 13 September 2012

Isnin, 9 Julai 2012




Program SHIELDS peringkat Negeri yang diadakan pada 25 hingga 28 Jun 2012 siri 1  yang bertempat di Kem Aman Sari , Pantai Sepat Kuantan. Anjuran bersama AADK Negeri , Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) dan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP). Seramai 40 orang pelajar perempuan yang terlibat bagi semua daerah.

KEM SHIELDS DAERAH MARAN 2012



Program Kem SHIELDS Daerah Maran 2012 telah diadakan pada 19 hingga 22 Jun 2012 di Kem 25 RAMD Bentong. Dengan kerjasama AADK , ATM 25 RAMD dan PPD Daerah Bentong. Seramai 80 orang pelajar terlibat gabungan dua daerah Marann dan Bentong. Program yang berfokus kepada pencegahan awal dadah. 



Isnin, 2 Julai 2012

Lorong Sumber PPDa SMK Maran

Tahniah kepada warga SMK Maran kerana telah mewujudkan Lorong Sumber PPDa yang menarik dan efisien. Semoga usaha murni ini terus ditembahbaik dan dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Lawatan Pegawai dan Staf PPD Maran ke Lorong Sumber PPDa SMK Maran

Lorong Sumber PPDa Pejabat Pelajaran Daerah Maran





Pejabat Pelajaran Daerah Maran kini terus bergerak aktif dalam memantapkan saluran maklumat dan pengurusan PPDa kepada semua warga kerjanya. Dengan wujudnya Lorong PPDa ini, memperlihatkan komitmen Pegawai dan staf PPD Maran dalam memastikan visi dan misi PPDa dikongsi bersama.
     Walaupun masih diperingkat awal, namun usaha murni ini amat memberi kesan kepada penyebaran maklumat PPDa kepada semua warga PPD Maran termasuklah pelanggan yang sentiasa hadir ke PPD. PPDa Maran dalam usaha untuk menambah dan menceriakan lagi Lorong Sumber PPDa ini.

Khamis, 21 Jun 2012

Auditan MS ISO 9001:2008 bermula

Proses pengauditan MS ISO 901:2008 telahpun bermula. PPDa terlibat dalam PK03 Pengurusan Pemantauan. Beberapa langkah atau proses perlu diikuti dan ditepati.
     PPD Maran telah dikunjungi oleh Juruaudit JPN Pahang pada 29 Mei 2012. Pada 25 dan 26 Mei 2012, Juru Audit dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia akan melaksanakan auditan di PPD Maran. Kita mengharapkan, unit PPDa dapat memenuhi proses pengauditan tersebut.

Rabu, 22 Februari 2012

Mesyuarat Pengurusan PPDa Daerah Maran Bil 1/2012

Mesyuarat Pengurusan PPDa Daerah Maran Bil 1/2012 dan Bengkel 2SP (soalselidik Urin) telah diadakan di Dewan Seminar , PPD Maran pada 16 Februari 2012 dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Selasa, 21 Februari 2012

Pemantauan Berfokus PPDa JPN ke sekolah-sekolah negeri Pahang 2012

Lawatan pemantauan berfokus telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah di Daerah Kuantan. SMK Tok Sera dan SMK Vokasional Kuantan telah dilawati. Selain memnatau pengurusan dan aktiviti PPDa di sekolah berkenaan, khidmat bantu juga telah diberikan kepada Guru PPDa dan pengurusan sekolah.
Bersama Pengetua SMK Tok Sera

Bersama Guru PPDa dan GPK HEM SMK Tok Sera

SMK Tok Sera, Kuantan

Bersama Pengetua, GPK HEM dan Guru PPDa SM Vokasional Kuantan

Mesyuarat Pengurusan PPDa Negeri Pahang Bil 1/2012


Isnin, 13 Februari 2012

Perutusan Hari Antidadah 2012

PERUTUSAN

Y. BHG. DATO' SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

SEMPENA

HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN

19 FEBRUARI 2012
________________________________________________

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan. Pada setiap tahun, tanggal 19 Februari, kita akan mengadakan sambutan ini bertujuan menunjukkan bahawa kita masih komited untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa. Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini.

2. Justeru, sempena Hari Antidadah Kebangsaan ini, saya ingin mengajak semua warga pendidik bersama-sama memerangi penyalahgunaan dadah secara habis-habisan. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda kerajaan iaitu Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012 dan Negara Bebas Dadah Tahun 2015.

3. Bagi merealisasikan aspirasi murni ini, pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu memastikan semua sekolah di negara ini bebas dadah melalui pelaksanaan program-program bersifat pencegahan di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

4. Pada tahun 2012, visi KPM adalah ke arah sekolah bebas dadah. Oleh itu, KPM telah merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di peringkat sekolah di seluruh negara. Tindakan pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti kependidikan yang berfokus kepada pembinaan jati diri murid. Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbina disiplin kendiri yang kental dan utuh serta budi pekerti mulia dan terpuji dalam diri setiap murid.

5. Faktor utama yang menentukan kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah sangat bergantung kepada komitmen murid-murid sendiri. Komitmen murid menghayati segala nilai murni sepanjang berada di bangku sekolah merupakan benteng yang ampuh bagi memerangi najis dadah. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut membuka peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potensi diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

6. KPM amat menyedari bahawa masalah penyalahgunaan dadah pada hari ini semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur termasuklah golongan remaja dan murid-murid sekolah. Keadaan ini menjadi lebih serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam media massa. Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

7. Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada murid. Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah. Pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat dengan usaha KPM untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan. Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai masalah.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

8. Walaupun KPM menetapkan visi ‘Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012’ tetapi Perancangan Pendidikan Pencegahan Dadah Jangka Panjang terus dilaksanakan. Ini bermakna, pendidikan pencegahan dadah perlu diteruskan kerana saban hari dan setiap masa murid-murid kita akan sentiasa terdedah kepada gejala ini. Dalam hal ini, semua warga pendidikan perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun warga sekolah terlibat dengan dadah. Pengurus sekolah, perlu melihat gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu sentiasa diberi perhatian. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya. Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah mengganggu-gugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid ketika di sekolah.

9. Matlamat aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Aktiviti yang dilaksanakan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah. Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat berat dan mencabar. Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini adalah kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

10. Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidikan agar sentiasa berusaha dan menyokong usaha kerajaan untuk menghapuskan gejala negatif ini. Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda kita bebas daripada pengaruh dadah. Sesungguhnya, usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara.
Sekian, terima kasih.

Dapatkan Perutusan ini melalui Muat Turun

Pejabat Pelajaran Daerah Maran yang baru

Pejabat Pelajaran Daerah Maran kini beroperasi di bangunannya sendiri, beralamat Jalan Seri Keramat, bersebelahan SMK Cedung Jaya. Sebelum ini PPD Maran beroperasi di Wisma Persekutuan, Maran.
     Bermula 1 Februari 2012, Unit PPDa juga telah berpindah ke bangunan baru ini. Diharapkan pengurusan PPDa juga semakin mantap dan terus maju.

Khamis, 26 Januari 2012

Selamat Datang Tuan PPD Maran yang baru, En Baharum bin Hj. Samat

PPDa Daerah Maran mengucapkan selamat bertugas kepada Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Maran yang baru, Encik Bahrum bin Hj. Samat. Kehadiran sentiasa dihargai dan dinanti-nanti dalam memastikan kesinambungan kepimpinan PPD Daerah Maran. Beliau pernah menjawat Jawatan Timbalan PPD Temerloh sebelum bertugas di PPD Maran.
     Dengan slogan "Menjuarai Kecemerlangan Daerah Maran" dan visi "Maran berprestasi Tinggi Menjelang 2012", PPDa Maran percaya hala tuju PPD Maran akan berjaya mencapai misinya. Seiring dengan itu, PPDa juga mengharapkan satu bentuk pengurusan dinamik dan berkesan dalam memastikan visi dan misi terlaksana. PPDa Maran juga menumpang tuah dan penghargaan di atas ketrampilan kepimpinan Tuan PPD Maran. Semoga PPDa Maran juga terus mantap dan dapat meneruskan agenda negara dan kementerian dalam memberi pendidikan pencegahan dadah di seluruh sekolah.
    

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...