Khamis, 24 Februari 2011

Seminar Kesedaran HIV/Aids PROKES Daerah Maran 2011

Seminar ini akan diadakan pada :
Tarikh: 10 Mac 2011
Hari : Khamis
Masa : 8.30 pagi hingga 1.30 petang
Tempat : Bilik Mesyuarat, Aras 4, Wisma Persekutuan Maran
Fokus :  Semua Guru PPDa daerah Maran
Kerjasama: PPD Maran dan Pejabat Kesihatan Daerah Maran

Program ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan maklumat kepada semua guru berkenaan kesedaran tentang bahaya HIV/Aids. Di samping itu juga, Mesyuarat Pengurusan PPDa Daerah Maran akan dilaksanakan. Diharap semua Guru PPDa sekolah bersedia.

Isnin, 21 Februari 2011

PELANCARAN SAMBUTAN MINGGU ANTIDADAH PERINGKAT SEKOLAH

Untuk makluman, Jabatan Pelajaran Pahang telah mengarahkan semua sekolah melaksanakan Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah sempena Hari Antidadah Kebangsaan bermula pada 19 Februari hingga 31 Mac 2011. Tema sambutan Hari Anti dadah Kebangsaan, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun ini ialah ”1Malaysia Membanteras Dadah”.
       Sehubungan dengan itu, pihak sekolah diarah mengadakan beberapa aktiviti sepanjang Minggu Antidadah Peringkat Sekolah seperti membaca perutusan YH Dato’ Pengarah Pelajaran Pahang, pertandingan-pertandingan, karnival, ceramah antidadah, pameran dan aktiviti lain yang bersesuaian serta menjurus ke arah penyampaian mesej antidadah.
       Kerjasama pihak sekolah juga dipohon untuk menghantar laporan bergambar mengenai perlaksanaan sambutan Minggu Antidadah Sekolah tuan ke Pejabat Pelajaran Daerah Maran (Untuk Perhatian En. Mohd Jasmi Jaafar, Pegawai Khas PPDa) sebelum 1 APRIL 2011.
       Perutusan YH Dato’ Pengarah Pelajaran Pahang untuk dibaca dalam majlis pelancaran sebagai bahan maklumat dan rujukan warga sekolah telahpun dihantar ke sekolah-sekolah. Selain itu,Perutusan dan maklumat PPDa juga boleh diakses melalui internet iaitu ppdapahang2u.blogspot.com dan ppdamaran.blogspot.com. Kerjasama dan perhatian semua guru PPDa dan pihak sekolah dalam hal ini amatlah dihargai. 

Selasa, 15 Februari 2011

Merokok di kalangan Pelajar

FAKTA yang menyebut sekurang-kurang 50 remaja ‘terjebak’ sebagai penghisap rokok baru setiap hari sememangnya menggerunkan. Perkembangan terbaru itu memberi petunjuk kepada semua pihak seperti ibu bapa, pihak berkuasa dan guru-guru agar segera bertindak membendung gejala membunuh itu.Lebih membimbangkan apabila tabiat merokok menjadi budaya yang dibanggakan kalangan remaja sehingga mereka tiada rasa bimbang untuk menyedut asap rokok di kawasan sekolah.
     Persoalannya, sampai bila kita akan menjadi penonton kepada gejala tidak sihat ini, sedangkan tabiat tersebut jika tidak dibendung akan meninggalkan kesan negatif kepada pembentukan masyarakat sihat pada masa akan datang. Sampai bila juga kita mahu mengiktiraf remaja sebagai salah satu kumpulan penyumbang utama kepada pembaziran lebih RM8 juta sehari daripada tabiat merokok itu.
     Untuk menjawab pelbagai persoalan tentang ketagihan merokok di kalangan remaja, wartawan Utusan Malaysia WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY bersama jurugambar MOHD. NOOR AMIN dan MOHD. NAIM AZIZ mendekati kumpulan tersebut di kawasan persekolahan yang cuba mencungkil rahsia serta alasan golongan itu terjebak dalam gejala tersebut.

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Pengalaman seminggu ‘melepak’ di hadapan sekolah-sekolah menengah sekitar ibu kota mengiyakan kebimbangan orang ramai tentang budaya merokok di kalangan pelajar yang dikatakan berleluasa.
       Perkataan paling sesuai untuk menggambarkan reaksi penulis melihat senario itu ialah ‘pelik.’Pelik apabila melihat pelajar-pelajar lengkap dengan uniform selamba menghisap rokok seolah-olah perbuatan itu tidak salah.Dengan sebatang rokok setiap seorang atau berkongsi sesama mereka, merokok menjadi tabiat yang amat dibanggakan. Tabiat itu juga seolah-olah perkara wajib yang dilakukan setiap pelajar.
      Penulis tercegat seawal 7 pagi dan meninjau gelagat pelajar menghisap rokok sebelum memulakan kelas.
Ada yang mula menyalakan puntung rokok sebaik sahaja turun bas, ada juga semasa menunggang motosikal, malah ada yang berbuat demikian selepas bersalaman dengan ibu bapa yang menurunkan mereka di sekolah.
Penulis mendekati para pelajar dan bertanya sendiri punca mereka terjebak menghisap rokok di usia muda itu.
      Semuanya mempunyai alasan yang sama iaitu mahu kelihatan lebih dewasa. Seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Bob’ tersenyum ditanya kenapa dia merokok. “Memang dah biasa macam ini bang. Kalau hisap rokok baru orang nampak ‘macho.’ Orang nampak besar dan matang,” katanya selamba.
     Persoalan penulis tidak terhenti di situ. Meneruskan pertanyaan demi pertanyaan kerana rasa ingin tahu sehingga melampaui rahsia mereka yang sebenarnya. Rasa terkejut apabila penulis diberitahu mereka tetap meneruskan ‘aktiviti’ merokok semasa waktu persekolahan. Kata Bob, biasanya, ‘perokok-perokok remaja’ sudah mengenal pasti lokasi selamat di dalam kawasan sekolah untuk merokok. Masanya ialah pada waktu rehat. Bagi perokok tegar, mereka boleh saja menghisap rokok pada bila-bila masa asalkan hajat melepaskan gian tercapai.
“Kita memang ‘kaki’ hisap rokok. Pantang ada masa terluang atau semasa rehat, mesti hisap rokok di tandas atau belakang setor sukan di tepi padang. “Kalau kena tangkap biasanya akan dirotan saja. Bagaimana hendak suruh kita tidak merokok jika cikgu sendiri hisap rokok,” ujarnya.
     Penulis mengambil keputusan untuk terus berada di sekitar kawasan sekolah pada waktu tengah hari. Sekali lagi penulis terkejut apabila pelajar-pelajar tidak segan silu mengeluarkan kotak rokok dan menyalakan rokok sejurus keluar dari pagar sekolah. Malah lebih menyedihkan, pemerhatian penulis mendapati ada antara peniaga di luar sekolah turut menjual rokok kepada pelajar-pelajar.
      ‘Kerjasama’ para peniaga menjual rokok kepada pelajar dilihat membantu gejala itu berkembang. Para peniaga itu tidak memikirkan bahaya kepada remaja sebaliknya mementingkan untung semata-mata. Tanpa tindakan atau penguatkuasaan yang tegas untuk menghentikan ketagihan merokok kalangan pelajar, ia akan terus menjadi budaya yang merosakkan golongan tersebut. Jumlah perokok baru di kalangan pelajar akan bertambah selagi tanggapan merokok lambang kematangan tidak diperbetulkan.

Mungkin apa yang terpapar ini berlaku di kalangan anak murid kita.

Bila Pelajar Terlibat Dadah..

Sekadar Gambar hiasan.

Bila pelajar terlibat dadah, kita terus rasa ianya suatu yang menjengkelkan. Pelbagai tohmahan mula dilemparkan. Bila bercakap tentang penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar, kita cuba elakkan. Kita sukar menerimanya. Kita tidak suka membicarakannya.
     Lihatlah pada hari ini, dadah terus menghantui kita. Dadah masih mendekati pelajar kita. Ramai yang terjebak. Ramai yang telah kita selamatkan namun ada jua yang gagal kita bantu. Hati mana yang tidak sedih melihat anak pelajar kita terjebak ke lembah dadah. Anak-anak yang selama ini dibesarkan dan diberi didikan, akhirnya ada segelintir yang hanyut. Ada yang banyak melakukan masalah disiplin, ponteng dan yang sedihnya terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
     Pelajar ini sebenarnya masih boleh dibentuk dan dibantu. Mereka masih mencuba dan belum sampai ke peringkat penagihan. Namun usaha yang jitu dan menyeluruh perlu dalam memastikan mereka ini insaf dan tidak mengulangi kesilapan tersebut. Jangan kita menyalahkan mereka 100% tanpa melihat faktor-faktor penyumbang kepada masalah ini. Kita melihat dadah sintetik atau dadah bentuk baru mula menular di kalangan pelajar. Peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam membantu mereka. Guru-guru juga perlu melihat dan prihatin terhadap semua pelajar.
     Program berbentuk rohani/agama perlu digerakkan dengan lebih berkesan terutama kepada golongan pelajar bermasalah. Pelajar yang bermasalah jangan pula ditinggalkan atau tidak dilibatkan dalam apa jua aktiviti sekolah. Ini bertujuan mengisi kekosongan waktu dan diri pelajar-pelajar ini. Dampingi mereka dengan berhemah.
     Apabila ujian urin dilaksanakan, ramai yang mengaku pernah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, gam, ketum, arak, zina dan ketagihan rokok. Mungkin bilangan positif urin tidak ramai namun perkembangan ini membuktikan usaha yang berkesan amat perlu dalam menangani permasalahan ini.

Sabtu, 12 Februari 2011

Ketagihan Ketum (Usaha pencegahan perlu kerana ianya semakin menular di kalangan pelajar)

Pokok Ketum, juga dikenali sebagai Pokok Biak (bahasa Inggeris: Kratom), ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand. Di Thailand, pokok ini dipanggil Kakuam, Ithang atau Thom, di Amerika Syarikat pula sebagai Kratom. Nama botaninya Mitragyna speciosa korth.
     Daun Ketum telah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin. Daun ini direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang. Bagaimanapun air rebusan daun Ketum telah disalahgunakan dan mula dijual secara meluas kepada pengguna biasa.
     Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.

Kesan penagihan daun Ketum

Antara kesan buruk penyalahgunaan melampau daun ketum ialah
  • susut berat badan
  • insomnia
  • anoreksia
  • bibir menjadi kering
  • sembelit atau kesukaran membuang air besar.
  • kesan lebam dan terbakar di muka terutamanya di bahagian pipi dan sebagainya
Kesan-kesan penyingkiran (withdrawal)
  • Simptom-simptom tarikan seperti mata dan hidung berair
  • sengal-sengal sendi
  • mudah marah
  • lemah untuk bekerja

  • inilah pokok ketum yang tumbuh meliar di sekitar kita terutama di kawasan berhampiran sungai.
#Ketum adalah pokok yang berasal dari kawasan Asia Tenggara. Ia tergolong di dalam keluarga pokok kopi. Daun ketum lazim digunakan sebagai perangsang, sebagai ubat penenang, untuk rileks atau rehat, sebagai ubat penahan sakit, ubat mengatasi cirit birit dan rawatan untuk penagihan heroin.

#Ia boleh dikunyah dalam bentuk daun segar atau serbuk. Ia juga boleh direbus seperti teh, ataupun dihisap. Serbuk daun ketum boleh diperah dan dicampur dengan jus buah-buahan untuk mengurangkan rasa pahitnya.

#Ketum telah diharamkan penggunaannya oleh kerajaan Malaysia, Australia, Thailand dan Myanmar.

#Tanda-tanda dan gejala
Kekerapan penggunaan daun ketum boleh menjadi satu tabiat. Penyalahgunaan daun ketum juga boleh menimbulkan gejala-gejala seperti keganasan, permusuhan, pengeluaran air mata yang kerap, sakit lenguh-lenguh di otot dan sendi, kerap membuang air kecil dan boleh menghadapi sembelit. (najis selalunya kelihatan gelap, keras dan kecil).
Penggunaan daun ketum dalam jangka masa yang panjang boleh menghasilkan gejala tarikan/gian fizikal sepertimana yang dihasilkan dari penggunaan heroin, seperti merasa seram sejuk, muntah, cirit-birit, mudah marah dan sering menjadi letih-lesu. Gejala-gejala tarikan ini akan berakhir dalam jangka masa 4 ??? 5 hari.

#Kesan dan akibat
Penggunaan daun ketum secara jangka panjang boleh menyebabkan kulit pipi menjadi gelap. Penagihan ketum juga boleh menyebabkan mereka mendapat sawan dan menjadi hilang akal (psikosis ketum).

     Masalah ketum semakin menular bukan sahaja di kalangan orang ramai malah terhadap pelajar. Berdasarkan kajian dan pengakuan pelajar, pengambilan air ketum semakin bertambah dan ramai pelajar yang mudah terjebak dalam penagihan ketum. Sumber bekalan yang mudah dan ianya kadangkala dapat dilihat menjadi suatu hidangan dalam kenduri kendara. Paling membimbangkan apabila kanak-kanak pelajar mula minum air ketum bersama keluarga sendiri. Terdapat pengakuan pelajar yang disoalselidik menyatakan bahawa mereka minum air tersebut sewaktu kenduri diadakan di rumah mereka.
     Ketum berada dalam penguatkuasaan  akta Racun. Ketika ini penguatkuasaan ke atasnya masih kurang. Pelajar-pelajar yang berada di kampung atau Felda, mudah terdedah dengan masalah ini. Ketum dianggap sebagai ramuan air akar kayu (herba), menyebabkan ianya digunakan tanpa melihat kesan jangka panjangnya.
     Kita mengharapkan, pendedahan bahaya 'ketum' dapat dilakukan terutama kepada pelajar dan masyarakat. Kita bimbang kerana banyak pengakuan pelajar terlibat dengan permasalahan ini hingga menyebabkan mereka mula terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan gejala sosial.

Isnin, 7 Februari 2011

Berita akhbar: Pelajar terlibat Dadah

KUANTAN - Golongan pelajar disarankan supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan menjauhkan diri daripada terlibat dalam sebarang salah laku jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Pembabitan pelajar dalam gejala ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah akan menjejaskan pelajaran masing-masing.
      Walaupun salah laku pelajar dalam jenayah dan dadah masih terkawal, pendedahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri (JSJN) berhubung penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar tahun lalu agak membimbangkan.
      Ketuanya, Superinten dan Yap Toon Khuan berkata, penyalahgunaan dadah sintetik di kalangan pelajar termasuk pelajar sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini menunjukkan peningkatan apabila meningkat 79 kes atau 83.2 peratus tahun lalu berbanding hanya 95 kes tahun 2009. Menurutnya, usaha membendung gejala itu menjadi sebahagian fokus utama Pelan Tindakan 2011 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.
      “Melalui pelan ini, JSJN akan mengadakan perbincangan secara lebih kerap dengan pihak bertanggungjawab termasuk Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta pihak sekolah. “Melalui perbincangan secara bersama, kita dapat mengenal pasti masalah dan punya sebenar segelintir pelajar boleh terjebak dalam gejala merosakkan ini,”katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
      Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan peranan lebih berkesan Pegawai Perhubungan Narkotik Sekolah yang dilantik bagi menangani isu ini.
      Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani dalam sidang medianya baru-baru ini berkata, beliau akan memastikan semua Pegawai Perhubungan Sekolah merangka dan mengadakan program berkesan berhubung pencegahan jenayah di setiap sekolah. Menurutnya, pegawai yang dilantik akan berkunjung ke sekolah terpilih untuk bertemu pelajar dan mencari jalan penyelesaian terbaik jika wujud salah laku jenayah di kalangan segelintir pelajar.
      Usaha yang diambil pihak polis itu tidak membawa makna jika pelajar itu sendiri terus berdegil dan sanggup menggadaikan masa depan hanya kerana desakan naluri mereka. Natijah daripada tindakan itu, ada segelintir pelajar terjebak dengan jenayah termasuk mencuri, mencuri motosikal, samun, rogol, pengambilan dadah dan pelbagai gejala tidak sihat yang lain.
      Bagi mengelak terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu, pelajar disarankan supaya melibatkan diri dalam aktiviti lebih berfaedah seperti bersukan, berpersatuan, menyertai pasukan beruniform dan melibatkan diri dalam program amal atau badan sukarela.  

Petikan akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, 7 Februari 2011

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...