Sabtu, 22 Februari 2014

TAKLIMAT DAN BENGKEL BIOFEEDBACK GURU PPDA DAN GURU KAUNSELING DAERAH MARAN 2014

Selasa, 18 Feb.-  Satu lagi program anjuran daripada Unit PPDa melibatkan guru PPDa dan guru Kaunseling sekolah menengah tentang teknik penggunaan alat biofeedback ( emwave). Ianya merupakan salah satu kaedah intervensi dalam rawatan memulihkan pelajar yang bermasalah dalam pengambilan dadah. Program ini telah mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Pahang dan merupakan projek perintis dalam Malaysia bagi daerah Maran khususnya.






     Penceramah yang menyampaikan taklimat dan bengkel ini iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Nubli bin Abdul Wahab , Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan UMP .yang dibantu oleh Encik Lokman dan Encik Aiman Atta. Program ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan guru kerana kecanggihannya dapat menerangkan emosi individu dalam apa jua keadaan. Program ini juga dihadiri oleh Encik Abdullah Sani , Encik Wan Muhammad Azan dan Encik Sabaruddin dari Unit PPDa Jabatan Pendidikan Pahang. Turut hadir juga Pegawai Khas Dadah Daerah iaitu Encik Faiz, Encik Lukman , Encik Nasir dan Encik Emirul.
     Sesi taklimat ini diakhiri dengan membuat praktikal terhadap pelajar dari SMK Maran dan SMK Maran 2. Alat ini mampu mengubah seseorang daripada tingkat laku negatif kepada positif. Difahamkan harga satu set alat ini mencecah kepada ribuan ringgit. Terima kasih kepada pihak yang bertanggungjawab dalam membawa program ini ke daerah Maran khusunya kepada Universiti Malaysia Pahang. Syabas dan tahniah kepada warga pendidik daerah Maran kerana bertuah mendapat alat ini dengan percuma. Diharapakan ianya dapat manfaatkan dengan baik agar masalah disiplin dalam kalangan pelajar akan menjadi bertambah baik pada masa akan datang.

PERUTUSAN SAMBUTAN MINGGU ANTIDADAH 2014

PERUTUSAN
PENGARAH PENDIDIKAN PAHANG
SEMPENA
HARI ANTIDADAH
KEBANGSAAN
TAHUN 2014
19 FEBRUARI 2014

 PERUTUSAN

SEMPENA

HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN

19 FEBRUARI 2014

________________________________________________

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1.                Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah kurnia-Nya maka dapat kita berhimpun bagi mengadakan sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan tahun 2014. Pada setiap tahun, tanggal      19 Februari, kita mengadakan sambutan ini untuk menunjukkan bahawa kita sentiasa komited untuk meneruskan usaha memerangi gejala dadah daripada terus berleluasa sama ada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah. Komitmen untuk membendung ancaman dadah ini perlu diteruskan bagi memastikan bangsa dan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara ini.

2.                Sempena Hari Antidadah Kebangsaan ini, saya dengan penuh harapan ingin mengajak semua warga pendidik bersama-sama menjayakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah masing-masing. Program Pendidikan Pencegahan Dadah yang meliputi pendidikan pencegahan dan intervensi bagi membebaskan warga sekolah bebas daripada bahaya dadah, rokok, inhalan, alkohol dan HIV/AIDS. Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh warga pendidik ini akan dapat merealisasikan agenda kerajaan iaitu  Negara Bebas Dadah  2015.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

3.                Sesungguhnya tindakan pencegahan dan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang berfokus kepada pembinaan jati diri dan sahsiah murid. Melalui aktiviti yang berfokus, diharapkan akan terbinalah disiplin kendiri yang kental dan budi pekerti mulia serta terpuji dalam diri setiap murid. Semua murid perlu diberikan pengetahuan mengenai bahaya dadah secara terancang dari masa ke semasa. Ilmu pengetahuan mengenai bahaya dadah ini haruslah kekal di dalam diri murid-murid bukan sahaja ketika di alam persekolahan tetapi juga setelah tamat persekolahan.

4.                Faktor utama yang menentukan kejayaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah adalah bergantung kepada kerjasama dan komitmen semua pihak, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sendiri termasuklah komuniti yang terlibat dengan sekolah. Pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan pencegahan dadah bukan sahaja bermatlamat membanteras penyalahgunaan dadah tetapi turut membuka peluang kepada murid-murid untuk menonjolkan bakat dan potensi diri masing-masing melalui pelbagai aktiviti yang disediakan.

5.             Ancaman dadah kepada murid-murid merupakan satu cabaran yang perlu ditangani secara bersungguh-sungguh demi melonjakkan sistem pendidikan negara ke arah negara maju menjelang tahun 2020. Ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, menerusi anjakan ke – 3 iaitu bagi melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai dan anjakan ke – 10 yang memberi tumpuan kepada kemenjadian dan keberhasilan murid bagi memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya.

6.                Perkara yang amat membimbangkan  Kementerian Pendidikan Malaysia ialah apabila murid-murid tidak mendapat maklumat yang tepat dan betul. Mereka akan mendapat maklumat yang salah daripada rakan sebaya mereka  atau melalui pengaruh luar. Kajian yang dijalan oleh Unit PPDa, KPM pada tahun 2013 di sekolah-sekolah seluruh negara mendapati masalah penagihan rokok adalah masalah utama di sekolah-sekolah pada hari ini. Berdasarkan soal selidik yang diedarkan,  kepada seramai
34290 orang responden, 61peratus responden  mengaku  pernah merokok dan seramai 37 peratus daripada jumlah yang pernah merokok tersebut masih terlibat dengan penagihan rokok atau diklasifikasikan sebagai perokok tegar. Rokok yang dikenali sebagai ‘dadah pembuka jalan’ akan mencetuskan laluan ke arah penagihan dadah.  

7.                Masalah penyalahgunaan dadah pada masa kini semakin rumit dan telah melibatkan semua peringkat umur. Golongan remaja adalah sasaran utama para pengedar dadah yang sentiasa berusaha untuk meraih keuntungan yang mudah dan berlipat ganda.  Murid-murid sekolah tidak terkecuali dalam agenda para pengedar dadah ini. Keadaan ini menjadi lebih serius disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Di samping itu, kes-kes penyeludupan dan pengedaran dadah juga semakin berleluasa seperti yang didedahkan dalam media massa. Keadaan ini menyebabkan murid sekolah sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Berdasarkan kepada data ujian urin  pada tahun 2013, seramai 44,033 orang murid sekolah menengah telah diuji. Keputusan daripada ujian urin tersebut, seramai 1,056 orang didapati positif ujian urin. Angka tersebut menunjukkan 2.40 peratus daripada murid yang diuji telah terlibat mencuba dadah. Lebih membimbangkan 88 peratus daripada murid yang positif tersebut, terlibat mencuba dadah jenis sintetik. Ini bermakna semua pihak perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha memerangi gejala ini daripada terus berleluasa dan bermaharajalela.

8.                Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak mempergiat usaha secara berterusan dalam memberikan pendidikan pencegahan awalan kepada murid-murid. Saya percaya bahawa usaha-usaha tersebut mampu membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah. Pencegahan penyalahgunaan dadah dalam kalangan murid sekolah mempunyai kaitan rapat dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan lagi taraf dan kualiti pendidikan. Sesungguhnya, murid-murid hari ini adalah generasi pemimpin negara pada masa depan yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam aspek pemikiran analitik, kritis, kreatif dan seterusnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan pelbagai masalah.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

9.                Semua warga pendidik perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan tidak ada seorang pun warga sekolah terlibat dengan dadah. Pentadbir sekolah, perlu  melihat gejala penyalahgunaan dadah sebagai perkara yang serius dan perlu sentiasa diberi perhatian. Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada mengubatinya.

10.           Kita tidak boleh membiarkan masalah dadah menggugat proses pembelajaran, keselamatan dan kesejahteraan murid-murid ketika di sekolah. Justeru, pihak sekolah perlu mengenal pasti tanda-tanda awal yang boleh menjadi penyebab murid-murid terpengaruh dengan dadah. Gejala ponteng, merokok, mengambil alkohol adalah tanda-tanda awal yang perlu dibenteras agar murid-murid yang terlibat dapat dikawal dan tidak beralih kepada mencuba dadah dan juga inhalan.

11.           Matlamat aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Aktiviti yang dilaksanakan di semua sekolah bagi memastikan warga sekolah berusaha menjauhi ancaman dadah. Saya sedar tugas dan tanggungjawab memerangi masalah dadah ini amat berat dan mencabar. Oleh itu, penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai agensi harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini adalah kerana pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah amat memerlukan kerjasama yang bersepadu dengan pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Saya yakin dengan kerjasama daripada semua pihak agenda membebaskan sekolah daripada ancaman dadah akan terus terlaksana dan sudah pasti murid-murid yang kita bentuk di sekolah pada hari ini akan mampu mengguna pakai ilmu yang diperolehi ini buat selama-lamanya walaupun setelah tamat alam  persekolahan nanti.

Tuan-tuan/puan-puan dan murid-murid sekalian,

12.           Akhir kata, sekali lagi saya menyeru kepada semua warga pendidik dan murid-murid agar sentiasa berusaha untuk mengekang pengaruh dadah di sekolah dengan mengambil pendekatan pendidikan pencegahan dan pendidikan intervensi secara serius serta terancang.  Semoga dengan kerjasama daripada semua pihak dalam memerangi penyalahgunaan dadah ini akan dapat memastikan generasi muda kita bebas daripada pengaruh dadah. Sesungguhnya, usaha yang kita laksanakan ini adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara sejajar dengan matlamat Negara Bebas Dadah 2015.

Sekian, terima kasih.

                                                               


                                                                           






Khamis, 20 Februari 2014

PROGRAM TEMPAT KERJA BEBAS DADAH 2014 ( TEKAD )

PROGRAM TEMPAT KERJA BEBAS DADAH 2014 
( TEKAD )
TARIKH : 28 HINGGA 29 2014
MASA 8 PAGI HINGGA 5 PETANG
JUMLAH PESERTA : 358 ORANG
SYARIKAT TERLIBAT :
     1) INTRA HARTA SDN BHD
     2) PERKASA FORCE SDN BHD
     3) KUKUH SAGA SDN BHD
     4) HORNET SDN BHD
     5) ALIFYA SDN BHD

Selasa - Tahniah kepada semua peserta yang terdiri daripada pengawal keselamatan sekolah daerah Maran kerana berjaya menghadiri program yang dianjurkan oleh Unit PPDa Maran dengan jayanya. Dengan kerjasama unit aset harta modal dan lain - lain agensi luar seperti AADK daerah Maran, Pejabat Kesihatan Daerah Maran, Ibu Pejabat Polis Daerah Maran dan Unit Farmasi Daerah Maran.

Foto Program
 Penceramah dari Unit Farmasi Kesihatan Daerah Maran Encik Mohd Adib

 Peserta kursus tekun mendengar ceramah 

 Peserta terdiri daripada pengawal keselamatan sekolah

 Peserta menerima lampiran maklumat 

 Peserta menerima hadiah dalam sesi soal jawab

Ujian urin terhadap pengawal keselamatan daripada AADK Maran

SELAMAT DATANG KEPADA PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH MARAN

SELAMAT DATANG!!!


PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH MARAN. Puan Asiah Binti Hamzah telah melaporkan diri beliau di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang pada 17 Februari dan hadir pada hari pertamanya ke Pejabat Pendidikan Maran pada hari berikutnya 18 Februari dengan gembiranya. Seluruh warga PPD Maran sangat mengalu-alukan kedatangan beliau. Kehadiran pegawai baru ini yang telah lama dinanti-nantikan oleh warga PPD Maran akhirnya telah menceriakan kembali suasana dalam kalangan pegawai dan staf PPD. Semoga Puan Asiah dapat melaksanakan tugas beliau dengan cemerlang, dedikasi, efisisen dan terbaik dalam suasana yang gembira. Kami warga PPD Maran akan sentiasa membantu dan mendoakan agar Puan Asiah sentiasa bergembira selalu.

 Lawatan muhibah Puan Asiah bersama Encik Zul ke Laluan PPDa PPD Maran
 Sesi perkenalan diantara Puan Asiah dengan staf dan pegawai 
Puan Asiah memperkenalkan diri beliau kepada semua staf PPD Maran 

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...