Isnin, 7 Februari 2011

Berita akhbar: Pelajar terlibat Dadah

KUANTAN - Golongan pelajar disarankan supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan menjauhkan diri daripada terlibat dalam sebarang salah laku jenayah serta penyalahgunaan dadah.
Pembabitan pelajar dalam gejala ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah akan menjejaskan pelajaran masing-masing.
      Walaupun salah laku pelajar dalam jenayah dan dadah masih terkawal, pendedahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri (JSJN) berhubung penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar tahun lalu agak membimbangkan.
      Ketuanya, Superinten dan Yap Toon Khuan berkata, penyalahgunaan dadah sintetik di kalangan pelajar termasuk pelajar sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini menunjukkan peningkatan apabila meningkat 79 kes atau 83.2 peratus tahun lalu berbanding hanya 95 kes tahun 2009. Menurutnya, usaha membendung gejala itu menjadi sebahagian fokus utama Pelan Tindakan 2011 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri.
      “Melalui pelan ini, JSJN akan mengadakan perbincangan secara lebih kerap dengan pihak bertanggungjawab termasuk Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta pihak sekolah. “Melalui perbincangan secara bersama, kita dapat mengenal pasti masalah dan punya sebenar segelintir pelajar boleh terjebak dalam gejala merosakkan ini,”katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
      Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan peranan lebih berkesan Pegawai Perhubungan Narkotik Sekolah yang dilantik bagi menangani isu ini.
      Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani dalam sidang medianya baru-baru ini berkata, beliau akan memastikan semua Pegawai Perhubungan Sekolah merangka dan mengadakan program berkesan berhubung pencegahan jenayah di setiap sekolah. Menurutnya, pegawai yang dilantik akan berkunjung ke sekolah terpilih untuk bertemu pelajar dan mencari jalan penyelesaian terbaik jika wujud salah laku jenayah di kalangan segelintir pelajar.
      Usaha yang diambil pihak polis itu tidak membawa makna jika pelajar itu sendiri terus berdegil dan sanggup menggadaikan masa depan hanya kerana desakan naluri mereka. Natijah daripada tindakan itu, ada segelintir pelajar terjebak dengan jenayah termasuk mencuri, mencuri motosikal, samun, rogol, pengambilan dadah dan pelbagai gejala tidak sihat yang lain.
      Bagi mengelak terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu, pelajar disarankan supaya melibatkan diri dalam aktiviti lebih berfaedah seperti bersukan, berpersatuan, menyertai pasukan beruniform dan melibatkan diri dalam program amal atau badan sukarela.  

Petikan akhbar Sinar Harian Edisi Pahang, 7 Februari 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...