Selasa, 31 Mei 2011

Tahniah Negeri Melaka : Negeri Bebas Asap ROKOK 2013

Melaka giat kempen raih negeri bebas asap rokok 2013
Oleh Minarni Mat Saad
2011/05/30
Usaha dicetus Ketua Menteri dapat sokongan rakyat
PERNAHKAH kita mengalami situasi begini.... sedang asyik menikmati hidangan bersama keluarga di restoran, tiba-tiba kita mengerut dahi kerana terganggu oleh asap rokok daripada pelanggan di meja sebelah.
Sesekali kita terpaksa mengipas udara dengan tangan kerana asap rokok yang berkepul-kepul bagaikan keluar dari serombong kapal menghala ke muka. Akibatnya kita menjadi kurang selesa, apatah jika selesema atau sakit tekak kerana asap rokok menambahkan perit kerongkong. Akhirnya kita terpaksa angkat kaki.
      Situasi itu tidak dialami jika kita di Melaka kerana negeri bersejarah itu akan menerima status Negeri Bebas Asap Rokok tidak lama lagi apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd Ali Rustam mengumumkan Program Melaka Bebas asap Rokok ketika Majlis Sambutan Minggu Tanpa Tembakau 2010 Peringkat Negeri Melaka. Berikutan itu, Melaka mengadakan kempen besar-besaran bagi mencapai negeri Zon Bebas Asap Rokok, 2013.
     Beberapa bandar sudah mendapat status bebas asap rokok seperti Luang Prabang di Laos, Davos City di Filipina dan Chandigarh di India. Kini, Melaka menyusul dengan mewartakan empat lokasi sebagai Zon Bebas Asap Rokok iaitu di kawasan warisan di Bandar Hilir, sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Jasin dan tempat awam di Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG). Kempen ini juga membantu usaha Melaka mengekalkan status Bandaraya Warisan Dunia dengan melindungi artifak dan bangunan bersejarah daripada kesan hakisan.
     Kempen turut mendapat sambutan penduduk, malah Jabatan Kesihatan Negeri menimbangkan permohonan badan bukan kerajaan (NGO) mendapatkan kad kuasa bagi menegur orang awam yang merokok di zon bebas rokok. Kempen ini selain melindungi hak majoriti bukan perokok daripada pencemaran udara, juga menggalakkan cara hidup sihat di kalangan masyarakat.
     Kempen ini juga lama-kelamaan mungkin menyebabkan perokok berhenti merokok di samping membantu usaha kerajaan memastikan persekitaran bebas asap rokok bagi melindungi kesihatan rakyat.
Inisiatif bebas asap rokok boleh didefinisikan sebagai usaha ‘mewujudkan lokaliti keseluruhan atau sebahagian bandar atau bandar raya sebagai kawasan bebas asap rokok’ untuk melindungi orang awam daripada ancaman asap rokok. Ia pendekatan yang semakin popular di seluruh dunia bagi menepati kehendak Artikel 8, Framework Convention on Tobacco Control (FCTC), WHO yang turut ditandatangani Malaysia pada 2005.
      Artikel 8 FCTC memberi mandat kepada kerajaan untuk mengiktiraf bukti saintifik yang jelas mengesahkan bahaya asap rokok yang boleh menyebabkan penyakit, kematian dan kemudaratan.
Sejak azali pelbagai kerenah perokok yang boleh dianggap mementingkan diri kerana merokok tanpa mempedulikan kehadiran kanak-kanak atau ibu mengandung. Rupa-rupanya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman juga bosan dengan sikap perokok yang bukan saja tidak endah dengan kesihatan orang di sekeliling, malah tidak tahu menjaga kebersihan dan kesegaran alam sekitar.
     Dalam perbualan dengan beliau baru-baru ini, Dr Hasan melahirkan kekesalan kerana ada perokok tidak menghormati orang lain yang beriadah di kawasan rekreasi, hutan lipur atau merentas hutan. Beliau yang setiap minggu menjadikan joging dan merentas hutan sebagai aktiviti keluarga berharap pihak berkuasa tempatan menjadikan tempat riadah dan rekreasi awam sebagai kawasan ‘Larangan Merokok’. “Ada perokok mencacatkan suasana segar dan bersih di tempat riadah dan membuang puntung rokok merata-rata,” katanya yang turut memuji langkah Melaka mewartakan beberapa lokasi sebagai bebas asap rokok. Dr Hasan berkata, langkah itu menjadi tarikan dan pelancong berasa satu kelainan berada di negeri itu. Beliau berharap negeri lain mencontohi langkah Melaka sebagai sokongan kepada usaha kerajaan menjayakan kempen Hari Tanpa Tembakau yang disambut pada setiap 31 Mei.
     “Pelancong pasti seronok apabila makan di restoran, berjalan-jalan di sekitar bandar bersejarah, menyusuri sungai Melaka tanpa asap rokok. Ini mempromosikan Melaka sebagai bandar sihat dan bebas dari asap rokok,” kata Dr Hasan.
Sumber : Berita Harian, 30 Mei 2011

Tahniah kepada kerajaan negeri Melaka. Moga usaha murni ini dapat diikuti oleh negeri lain. Diharap daerah-daerah dapat memulakan kempen seperti ini. 'Bulat air kerana pembentung, Bulat kata kerana muafakat'. PPDa Maran, mengharapkan Daerah Maran yang seluas Melaka juga mampu mengaplikasi dan menurut jejak langkah ini.

lihat berita lagi di :

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...