Rabu, 11 Mei 2011

336 perokok remaja dikompaun

Paparan akhbar Sinar Harian pada hari Selasa 10 Mei 2011 merujuk kepada masalah pelajar yang merokok  dan kompaun oleh Jabatan Kesihatan terhadap mereka. Adakah anak-anak dan pelajar kita terlibat sama?

KUALA LUMPUR - Seramai 336 perokok remaja dikompaun RM50 setiap seorang dalam operasi Orang Belum Dewasa (OBD) di seluruh negara kerana merokok serta memiliki tembakau. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, surat amaran juga akan dihantar kepada ibu bapa atau penjaga mereka untuk memaklumkan kesalahan tingkah laku anak mereka.
       Menurutnya, seorang pekedai runcit turut dikompaun RM500 kerana menjual tembakau kepada perokok bawah umur. “Sebanyak 24 penjual hasil tembakau turut dikompaun kerana gagal mempamerkan Tanda Larangan Jualan Hasil Tembakau Kepada Orang Di Bawah Umur 18 Tahun. “Secara keseluruhannya, sejumlah 361 kompaun dikeluarkan dalam operasi di seluruh negara dan jumlah kompaun dikenakan RM29,300,” katanya.
      Hassan berkata, sejumlah 2,101 tempat diperiksa dalam operasi ini, di mana 1,600 daripadanya adalah tempat penjualan hasil tembakau seperti gerai runcit, kedai runcit, pasar raya, kedai makan dan restoran dan sebagainya.Manakala bakinya adalah tempat di mana orang belum dewasa didapati merokok seperti di kawasan sekolah, hentian bas, pasar raya, kedai makan, stesen minyak dan sebagainya.
      Mereka yang gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh masa ditetapkan akan didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
      “Kementerian memandang serius trend orang belum dewasa merokok yang menjadikan mereka ketagih terhadap tabiat merokok. “Pihak kami akan meneruskan operasi penguatkuasaan melindungi orang ramai daripada bahaya rokok dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peruntukan undang-undang mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.
      Kepada sesiapa yang ingin berhenti merokok, mereka bolehlah mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan atau menghubungi Infoline 03-88834400 untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...