Isnin, 16 Ogos 2010

Masih ada kalangan Pelajar kita Kecundang di tangan dadah

"Sekolah Bebas Dadah 2012" seperti sukar dicapai sekiranya isu dadah di kalangan pelajar masih belum menemui noktahnya. Usaha pihak kerajaan terutama pihak Kementerian Pelajaran Malaysia amat bermakna dalam menengani Dadah di sekolah. Sayangnya, usaha ini kadangkala tidak memberi kesedaran kepada para pelajar. Program Pendididkan dan Pencegahan Dadah telah dijalankan sejak dulu lagi, namun masih ada kalangan pelajar kita yang tetap terperangkap dengan dadah. Program Kesedaran bahaya dadah sentiasa diadakan di sekolah bermula awal pra sekolah lagi. Pelajar telah didedahkan dengan bahaya dadah dan langkah mengatasinya.
       Zaman beredar, dadah juga melalui tranformasinya. Dulu, hanya heroin, candu, ganja dan morfin yang menjadi teman penagih, tetapi kini pelbagai jenis dadah muncul di pasaran. Dadah ini juga cukup mudah dibawa, diselindung, digunakan dan dijual. Yang membimbangkan, dadah era-moden ini cukup merbahaya walaupun diambil dengan jumlah yang kecil. Walaupun setiap hari, berita tangkapan dadah, pengedar, dan penagih terpampang di dada akhbar, namun dadah masih bermaharajalela di negara kita. Pengedar dan penagih sekarang cukup berani. Yang membimbang kita ialah penglibatan para pelajar.
     Penglibatan para pelajar adalah masih di bawah peringkat mencuba. Jika ianya tidak dibendung, maka masalah ini akan mengancam generasi kita pada masa akan datang. Bila kita membuat soal selidik, pelbagai alasan yang diberikan seperti; mahu mencuba, tak tahu ianya dadah, tak tahu kawan menipunya dan bermacam lagi alasan. Ada pula yang sanggup mengambil pil-pil seperti pil penenang, pil kuda dan sebagainya dengan alasan untuk berasa lebih tenang dan segar. Yang pastinya, kebanyakan pelajar yang mengambil dadah adalah pelajar bermasalah sama ada melibatkan tekanan dalam keluarga ataupun pengaruh rakan sebaya. Mereka inilah kaki gangster, kaki ponteng dan kaki rokok. Sayangnya, jika tiada usaha mencegah mereka dari peringkat awal, maka ia akan memberi kesan mendalam kepada kehidupan mereka.
      Rata-rata pelajar yang terlibat berhadapan dengan pelbagai masalah di sekolah seperti ponteng, merokok, pergaduhan, kes maksiat dan sebagainya. Ada antara mereka ini digantung sekolah dan akhirnya mengambil keputusan berhenti sekolah. Apabila ini berlaku, maka usaha memberi pencegahan kepada mereka ini menemui jalan buntu dan gagal. Akhirnya, mereka akan terus terlibat dan terdedah secara langsung dengan pengaruh dadah sekiranya tiada kesedaran dalam diri mereka. Lazimnya, mereka yang berhenti sekolah ini, lebih mudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan membawa mereka kepada 'penagih dadah', dan sukar untuk dikawal lagi.
      Kita mengharapkan ada usaha daripada pihak sekolah, dan ibu bapa pelajar yang bermasalah ini agar dapat membentung masalah dadah ini sama ada di sekolah, dan di rumah. Kita semua bertanggungjawab kepada masa depan mereka. Kita juga berharap, hukuman gantung dab berhenti sekolah adalah jalan terakhir yang seboleh-bolehnya tidak diterima. Kita mahu semua pelajar bersekolah dan dapat dibantu bukannya dibuang bila bermasalah.
      Kita bimbang pelajar yang kadangkala masih di tingkatan 3 dan 4 sudah berhenti sekolah. Ini membuka ruang sepenuhnya kepada dadah menjadi teman mereka. PPD Maran melihat situasi ini memungkinkan ianya menjadi barah dalam masyarakat dan perkara ini di pandang serius. Jangan jadikan Program PPDa 'seperti mencurah air di daun keladi'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...