Isnin, 31 Mei 2010

Telan Pil Kuda untuk Lumba haram

Edisi Harian MetroTimur: Lumba haram telan pil kuda



KUALA TERENGGANU: Remaja yang terbabit dalam kegiatan lumba motosikal haram di bandar ini, dipercayai menggunakan pil kuda bagi menghilangkan perasaan takut hanya untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan oleh `bookie' perlumbaan.

Walaupun menyedari perbuatan itu membahayakan keselamatan, tetapi tawaran hadiah lumayan yang mencecah ribuan ringgit mendorong remaja terbabit melakukan apa saja termasuk menyabung nyawa mereka.

Malah, remaja terbabit sanggup menghabiskan wang untuk mengubah suai motosikal di bengkel haram yang hanya diketahui pelumba terbabit bagi memastikan kelajuan motosikal melebihi tahap yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber memberitahu Harian Metro, perlumbaan haram di sekitar bandar ini ditaja oleh `tauke' tertentu yang menjalankan pertaruhan haram membabitkan pelumba haram.

Menurutnya, kebanyakan pelumba yang terbabit dalam perlumbaan haram akan menggunakan pil kuda yang dipercayai mampu memberikan semangat dan kekuatan kepada mereka untuk menewaskan lawan.

“Pil kuda ini akan menyebabkan remaja terbabit mampu melakukan aksi luar biasa termasuk memecut di selekoh tajam selain memintas lawan pada jarak dekat.

“Malah, kebanyakan motosikal yang ditunggang remaja terbabit sudah diubah suai untuk perlumbaan tertentu,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, dia tidak menolak kebanyakan remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan dadah berdasarkan tindakan bodoh yang dilakukan.

Menurutnya, mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk menyahut cabaran tauke di belakang tabir yang memperalatkan mereka.

“Buat masa ini, lokasi perlumbaan haram yang menjadi pilihan remaja terbabit ialah di jalan baru berhampiran Jalan Bukit Tunggal yang boleh dilihat selepas jam 9 malam setiap hari.

“Bagi memastikan mereka tidak ditahan pihak berkuasa, pelumba haram ini akan memastikan motosikal mereka dipasangkan dengan nombor plat palsu atau menggunakan motosikal curi,” katanya.

Selain itu, pelumba haram ini akan cuba melarikan diri jika ada pihak berkuasa yang cuba menahan mereka dan mereka juga sanggup melanggar polis yang menjalankan operasi sekatan jalan raya.

Menurutnya, tindakan ini bertujuan bagi mengelakkan perbuatan mereka menggunakan pil kuda selain melindungi tauke yang menaja perlumbaan itu.

“Lumba haram ini akan terus menjadi tumpuan remaja bermotor terutamanya penagih dadah kerana ia cara mudah untuk mendapatkan wang walaupun ia membahayakan nyawa mereka.

“Pihak berkuasa perlu menjalankan operasi bagi menangani masalah ini selain memasang perangkap bagi menahan tauke lumba haram yang memperalatkan nyawa remaja untuk kepentingan diri mereka,” katanya.



"Sekolah Bebas Dadah 2012"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...