Isnin, 31 Mei 2010

'Raja Pot' tumpas jua..

Kelicikan 'raja pot dadah' tumpas



KUALA TERENGGANU – Kehebatan dan kelicikan 'Raja pot dadah' akhirnya tumpas apabila dia ditahan dalam serbuan di Kampung Gelugoh, Binjai Rendah, Marang, dekat sini, Khamis lalu setelah menunggunya hampir lima jam.

Sebelum ini 'Raja pot dadah' itu dikatakan sanggup melakukan apa saja bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa, termasuk merempuh mana-mana pegawai atau anggota polis yang cuba memberkasnya.

Selain bertindak ganas, lelaki yang digelar ‘raja pot dadah’ bersama rakan sekutunya juga tidak akan meninggalkan kereta ketika berurusan menjual dadah serta memastikan enjin sentiasa dihidupkan untuk memudahkan dia lari dan menyelamatkan diri daripada diberkas polis.

Pengedar dadah terbesar di Terengganu juga kerap menukar kereta menggunakan modus operandi itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, untuk menahan suspek memerlukan perancangan rapi kerana dia akan bertindak ganas merempuh apa saja yang cuba menghalangnya.

Menurutnya, jangkaan mereka tepat apabila suspek bertindak nekad mengundurkan kereta Perodua Viva ke belakang dan melanggar tiang lampu hingga kemik dalam usaha melarikan diri sebaik dikepung polis.

“Suspek bersama dua rakannya juga menekan minyak kereta untuk meluru ke depan sambil menundukkan kepala, namun polis sudah bersedia menggunakan kenderaan berat bagi menghalang daripada melepaskan diri dari kepungan.

“Pada waktu itu, mereka masih enggan keluar daripada kereta dengan mengunci pintu dari dalam untuk mencari jalan melarikan diri. Sehingga polis terpaksa memecahkan cermin kereta dan menangkapnya,” katanya semalam.

Roslan berkata, selain berjaya menangkap suspek bersama dua rakannya, polis turut merampas heroin seberat 35.79 gram bernilai kira-kira RM11,200 serta wang tunai RM13,000 dipercayai hasil jualan dadah.

Beliau berkata, suspek berusia 30 tahun dari Kampung Alor Limbat, Marang, itu mempunyai tiga rekod dadah dan satu rekod jenayah lampau digelar raja pot dadah kerana sindiketnya mengawal pot dadah di empat daerah.

Katanya, daerah berkenaan adalah Marang (pot Tebakang), Dungun (pot Jerangau Barat), Hulu Terengganu (pot Bading) dan Kuala Terengganu (pot sempadan Kuala Terengganu-Marang) membabitkan antara 150 hingga 200 penagih.

Beliau memberitahu, suspek bersama 10 ahli sindiketnya sentiasa berulang-alik dari Terengganu ke Thailand untuk mendapatkan bekalan dadah setiap dua hari dengan transaksi kira-kira RM100,000 seminggu.

"Suspek memang sudah lama diburu polis dan akan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh susulan tindakannya cuba melanggar anggota polis pada 13 Mei lalu.

Raja pot dadah dan rakannya berusia 30 dan 40 tahun, masing-masing dari Kuala Berang dan Kampung Bukit Kayu Kelat, Marang, ditahan reman sehingga 3 Jun ini dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

“Kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam setelah suspek menghilangkan diri selepas cuba rempuh polis 13 Mei lalu.

"Polis juga sudah mengenal pasti saki baki ahli sindiket berkenaan,” katanya.



"Sekolah Bebas Dadah 2012"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KOLEKSI LALUAN PPDa PERINGKAT NEGERI 2014

SEKOLAH SK RTP BUKIT GOH KATEGORI LALUAN PPDa SEKOLAH RENDAH   ...